"ANGKARA DEDAH, ANGKARA TERJAH ... BILA SEMUA BUAT TAK KISAH !!. CAKNA DEMI RAKYAT"

Jika Lombong Baharu 'Di Luluskan', Ternyata Janji PRK Chini Di Khianati !

  

Ketika saya bertanding bebas di Pilihan Raya Kecil DUN Chini pada Julai 2020 lalu, antara misi saya ialah untuk selamatkan Tasik Chini yang kian tercemar. Walau pun dinafikan oleh pihak-pihak tertentu, namun hakikatnya semua penduduk terutamanya orang asli disekitarnya mengakui tasik semulajadi kedua terbesar di Malaysia itu sememangnya sudah tercemar. 

Saya turun padang dan melihat sendiri lokasi tasik tersebut ketika itu. Sungguh menyedihkan dan amat mengecewakan. Lantaran itu misi saya di PRK ketika itu ialah untuk mengangkat isu pencemaran Tasik Chini agar membuka mata semua pihak. https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=137023571370482&id=106205744452265

Sangkaan saya dengan pendedahan yang dibuat, ia akan memberi kesedaran kepada semua pihak betapa pentingnya untuk menjaga  keindahan alam sekitar Tasik Chini. Kerosakan dan pencemaran yang berlaku di sini bukanlah isu baru sebenarnya. 

Kerajaan Negeri Pahang ada memaklumkan akan mengambil langkah untuk mewartakan tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia itu sebagai sebuah taman negeri yang baru dan kawasan hutan simpan bagi menjadikannya sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi pilihan pelancong termasuk dari luar negara.

Kerajaan negeri berjanji akan menghentikan aktiviti perlombongan dan pembalakan di sekitar Tasik Chini bagi membolehkan aspek pemulihan berlangsung. Kerajaan negeri tidak akan menyambung semula atau memperbaharui lesen bagi sebarang aktiviti pembalakan dan perlombongan di sekitar Tasik Chini, 

Kenyataan dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin selepas merasmikan Program Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Pahang di Pusat Penyelidikan Tasik Chini pada November tahun lalu. 

Malah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri katanya juga bersetuju Tasik Chini yang terkenal dengan legenda naga dan keindahan bunga teratai sebelum ini diwartakan sebagai kawasan hutan simpan kekal supaya ia terpelihara.

Langkah untuk mewartakan kawasan itu perlu dilakukan supaya alam sekitar ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang, dalam keadaan yang baik dan semula jadi tanpa dicemari aspek pembalakan atau perlombongan.

Usaha itu sudah bermula, dan ia membolehkan Tasik Chini kembali pulih dalam tempoh masa antara 10 ke 20 tahun akan datang.

Mohd. Sharkar juga berkata, apa yang dilakukan kerajaan negeri adalah konsisten dan menyambung komitmen bekas Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Adnan Yaakob.

“Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga sangat serius dalam hal penjagaan alam sekitar dan beliau meneruskan usaha yang telah dilakukan bekas Menteri Besar sebelumnya,” katanya.


Namun terkini saya terkejut dengan pendedahan yang dibuat oleh sebuah portal hari ini. Antara lain portal iti mendakwa tapak perlombongan baru itu terletak kira-kira tiga kilometer dari Tasik Chini.

Tasik tersebut adalah kawasan tapak rizab biosfera UNESCO yang beberapa tahun kebelakangan bergelut dengan masalah pencemaran akibat perlombongan dan pembalakan.

Menurut dokumen penilaian impak alam sekitar (EIA) yang dibuka kepada umum pada April, projek itu meliputi 40.51 hektar - bersamaan kira-kira 60 padang bola sepak - di Lot 89798 di Mukim Penyor.

Dokumen itu juga menunjukkan beberapa konsesi perlombongan yang sedia ada di kawasan itu, dengan kebanyakannya terletak lebih dekat dengan Tasik Chini.

Dilaporkan konsesi untuk projek perlombongan terbaharu ini, yang memberi tumpuan kepada kerja melombong mangan (manganese) dan mineral lain. 

Pada 2019, kerajaan Pahang juga mewartakan Tasik Chini dan kawasan sekitarnya sebagai hutan simpan kekal.

Bagaimanapun ia nampaknya tidak menghentikan kegiatan perlombongan baru. Menurut EIA, projek terbaru itu melibatkan kerja "melombong mineral dalam atau bersebelahan atau dekat kawasan alam sekitar yang sensitif".

Berdasarkan dokumen itu, plot tanah yang terlibat adalah sebahagian daripada kawasan yang dikategorikan sebagai "Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 2".

Kawasan dalam kategori ini boleh dibangunkan dengan syarat-syarat tertentu tetapi kegiatan perlombongan memang dilarang. Bagaimanapun, kerajaan Pahang memberi pengecualian kepada projek perlombongan ini.

Dokumen EIA turut berkata kerajaan Pahang "menggantikan Rancangan Khas Tasik Chini dan meluluskan tapak projek untuk kegiatan melombong".

Menurut Pusat Penyelidikan Tasik Chini Universiti Kebangsaan Malaysia (PPTC), saiz kawasan tasik semula jadi adalah kira-kira 202 hektar, dengan 700 hektar kawasan paya air tawar dan hutan paya di sekitarnya.

Penyelidikannya mendapati lokasi itu kaya dengan flora dan fauna, dan 51 spesies tumbuhan jenis hutan rendah, 15 spesies tumbuhan jenis hutan paya air tawar, 25 spesies tumbuhan akuatik dan 87 spesies ikan air tawar.

Selain menjadi habitat semula jadi flora dan fauna yang pelbagai, PPTC juga berkata kawasan itu kekal sebagai sumber air utama dan pendapatan masyarakat Orang Asli daripada suku Jakun.

"Pembangunan dan penggunaan tanah yang tidak terkawal dan bercanggah dengan statusnya sebagai kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) telah mengakibatkan persekitaran yang menurun dalam kawasan lembangan tasik.," kata PPTC di laman webnya.

Laporan portal tersebut sungguh mengejutkan saya, seolah-olah Kerajaan Negeri Pahang mempermainkan kenyataan sebelum ini.

Janji mewartakan Tasik Chini sebagai Taman Negeri tanpa dicemari aspek perlombongan dan pencemaran. Namun rakyat Chini boleh melihat sendiri hakikat yang berlaku disana.

Ternyata janji manis untuk menyelamatkan Tasik Chini hanyalah omongan kosong semata-mata. Rakyat terpedaya dengan kenyataan yang dibuat itu. Saya tidak kisah kalah bertanding PRK DUN Chini, sebab saya tidak mempunyai dana dan jentera yang cukup untuk mencipta kemenangan.

Namun saya sedih, dengan kemenangan itu juga aktiviti perlombongan di sekitar Tasik Chini diteruskan. Anehnya benar semua pihak termasuk yang terlibat dengan alam sekitar dan pelancongan boleh membiarkan segalanya berlaku tanpa menghalangnya. Maka saya ucapkan tahniah kepada warga Chini kerana pembuat pilihan untuk terus menghancurkan alam sekitar Tasik Chini pada PRK lalu.

Saya kalah bermaruah dan tidak tergugat dengan tawaran dan imbuhan mereka. Tapi saya mohon maaf kerana gagal menyelamatkan Tasik Chini dari terus dicemari oleh tangan-tangan manusia yang ada kuasa. Justeri, jika benar lombong baharu telah diluluskan bermakna segala janji yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk selamatkan Tasik Chini hanyalah 'indah khabar dari rupa'.

Salam perjuangan leluhur. #CMK