Selepas lima tahun berjuang dan mengangkat isu ini, maka saya sekali lagi akan menggerakkan semula suara rakyat terhadap cadangan agar dibina laluan susur keluar baharu di kilometer 160, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) untuk kemudahan penduduk di sekitar Pekan Tajau - Jengka.
Satu jawatankuasa bertindak akan diwujudkan untuk melancarkan segala urusan yang berkaitan. Jawatankuasa ini akan melibatkan anak-anak perantauan yang mana kampung halaman mereka di kawasan ini. Sudah tiba masanya isu ini diangkat dan diperjuangkan dengan lebih sistematik lagi.
Jarak susur keluar Chenor Ke Maran Sejauh 33 kilometer ialah jarak paling panjang di LPT sebenarnya. Pada masa ini penduduk dari kawasan Felda Jengka 2, 3, 4, 5, 6, 7, Hulu Jempul, Pekan Tajau, Pejing, Sungai Ling dan sekitarnya terpaksa berkongsi laluan susur keluar di Exit Chenor dan Exit Maran.
Mereka kemudian terpaksa berpatah balik untuk pusing dalam jarak yang jauh antara 15 hingga 40 kilometer untuk kembali ke laluan ini melalui Chenor - Paya Pasir - Simpang Jengka atau Chenor - Bandar Pusat - Hulu Jempur dari arah Plaza Tol Chenor.
Jika melalui Exit Maran terpaksa melalui -Kuala Sentul - Jengka atau Maran - Bukit Tajau - Simpang Jengka untuk kembali ke laluan ini. Sedangkan jika ada laluan keluar di sini, ia memberi keselesaan dan kemudahan kepada penduduk setempat.
Masalah timbul apabila terlepas simpang Chenor atau Maran, mereka terpaksa bergerak 33 kilometer untuk berpusing semula ke laluan terbabit.
Memandangkan kawasan Felda dikawasan ini juga dikenali sebagai wilayah "Jengka tiga segi" maka pembinaan laluan ini adalah sesuatu yang relevan untuk penduduk di sini.
Makanya Exit Chenor adalah laluan khas untuk penduduk di sebelah Jengka 8, 9, 10, 11, 12, 13, 14, 15, 16, 17, 18, 19, 20, 21, 22, 23, 24, 25, Kg Awah, Sg Nerek dan sekitarnya, maka sepatutnya penduduk Felda Jengka 2, 3, 4, 5, 6, 7, Hulu Jempul, Pekan Tajau diberi hak melalui tapak cadangan ini.
Kenapa perlu berkongsi laluan dengan yang lokasinya agak jauh dan sesak terutamanya pada musim perayaan?. Begitu juga dilaluan Plaza Tol Maran, terpaksa berkongsi dengan pengguna dari kampung-kampung di sekitar kawasan terbabit itu sendiri.
Sebagai sebuah wilayah 'Jengka Tiga Segi' sewajarnya sebuah plaza tol baharu perlu diwujudkan untuk kemudahan penduduk di kawasan ini. Tidak wajar hanya satu segi sahaja mendapat kemudahan (Exit Chenor) sedangkan penduduk di sebelah satu lagi dinafikan hak.
Laluan ini juga melibatkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Maran iaitu DUN Tajau, DUN Chenor dan DUN Kuala Sentul. Makanya adalah amat relevan kemudahan ini disediakan dan ia amat penting untuk keselesaan dan kemudahan penduduk setempat termasuk anak-anak perantauan.
Jika dibandingkan jarak Exit Maran dan Exit Chenor ke lokasi ini, ia lebih jauh dari laluan Exit Maran ke Exit Sri Jaya. Sedangkan umum mengetahui kenderaan yang melalui laluan ini lebih banyak dari laluan Sri Jaya. Namun atas sokongan dan permintaan penduduk, akhirnya dibina laluan terbabit.
Begitu juga laluan baharu Exit Bukit Gambir yang dibina atas desakan penduduk dan disokong oleh pemimpin setempat. Malah terbaru, sebuah lagi Exit dibina di LPT2 selepas RNR Perasing yang jaraknya tidak terlalu dekat dengan exit Cheneh sedia ada.
Walhal laluan tersebut tidaklah terlalu mendesak kerana sudah ada laluan susur keluar sedia ada. Malah, laluan jalan tidak melalui jalan LPT2 itu sendiri sebenarnya.
Sebaliknya, bagi laluan yang dicadangkan ini memang LPT lalu diatas jalan Pekan Tajau ke Jengka 5. Maka itu ia sepatutnya dapat dipertimbangkan.
Justeru, satu petisyen dan memorandum akan dihantar kepada Kementerian Kerja Raya, Anih Berhad dan Ahli Parlimen Maran bagi meneliti cadangan kni dengan sewajarnya.
Semoga segalanya dapat dipermudahkan dan akan disokong oleh seluruh penduduk yang terlibat dengan laluan ini. Sokongan semua amatlah diharapkan bagi merealisasikan hasrat yang telah diperjuangkan sejak lima tahun lalu.
Jika anda anak perantauan yang berasal dari kawasan sekitar tapak cadangan, anda dijemput bersama kami di group Facebook https://www.facebook.com/groups/608871942588552/?ref=share
"Cakna Demi Rakyat"